Susun Gerak Kerja Dekati Golongan Muda – Awang Aslee

BEAUFORT: Pemuda UMNO Bahagian Beaufort disaran agar menyusun gerak kerja secara strategik dengan mencari kaedah bagaimana dapat menarik serta meningkatkan bilangan pengundi muda menyertai mereka.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, pemuda perlu sentiasa mendekati mereka sambil memilih UMNO sebagai tunjang parti golongan muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, Pergerakan Pemuda perlu menyediakan program di peringkat kawasan Pusat Daeah Mengundi (PDM) sekali gus ya g berapaya menarik minat golongan muda menyertai mereka.

“Sasaran Pemuda adalah mereka yang masih menuntut di peringkat sekolah menengah serta di institut pengajian tinggi.

“Saya ucapkan tahniah kepada Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda kerana berjaya membentuk kepimpinan Pemuda Beaufort dengan begitu baik apabila berjaya menarik minat golongan profesional, peguam, guru serta usahawan menyertai mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa Bahagian Pemuda UMNO Beaufort diketuai Ak Mohd Yazri Mohd Yahaya, di sini hari ini.

Awang Aslee berkata, Pemuda UMNO Beaufort kini mula menjadi perhatian seluruh pergerakan pemuda bahagian Sabah dengan gerak kerja dan keterampilan mereka.

“Tidak seperti sebelum ini yang tidak ubah seperti hidup segan mati tak mahu.

“Pemuda UMNO Beaufort perlu kekal serta tingkatkan prestasi ini sekali gus memastikan golongan muda memilih UMNO dalam PRN akan datang,” katanya.

Awang Aslee mengingatkan kepada semua Pemuda Bahagian Beaufort bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlaku selewatnya dua tahun lagi.