SEMPORNA: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menjalankan operasi bersepadu membabitkan 1,166 individu serta 74 rumah dan premis diperiksa bermula 20 Jun hingga semalam dijalankan di daerah ini.
Komandernya, Deputi Komisioner Polis, Victor Sanjos berkata, pemeriksaan itu membawa kepada tangkapan tujuh lelaki dewasa iaitu enam mengikut Seksyen 51(5)(b) manakala seorang lagi mengikut Seksyen 6(1)(c).
Katanya, operasi itu menyasarkan penempatan yang dikenalpasti di dominasi oleh Pendatang Tanpa Izin (PTI) iaitu di sekitar Pasar Pekan Semporna dan kawasan setinggan Kampung Perigi, Musalah, Bandau-Bangau serta premis reflexologi.
“Selain penguatkuasaan undang-undang sedia ada, operasi bersepadu ini turut dilaksanakan pemotongan sambungan haram elektrik.
“Sebanyak 45 kilogram kabel elektrik dirampas Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta rampasan 37 batang kayu pelbagai saiz dengan anggaran nilai rampasan RM1,805.
“Manakala, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan enam keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Victor berkata, pada masa yang sama, ESSCOM turut mengkoordinasi Operasi Cegah Jenayah Pondohan di kawasan perairan Sangaban.
“ESSCOM terus memperhebatkan Operasi Bersepadu bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat serta pelancong ke Semporna.
“Operasi kali ini turut bersepadu diperhebatkan dengan kerjasama pelbagai agensi dan pasukan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.
Victor berkata, ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah di ESSZONE bagi mengekang mana-mana elemen yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan kesejahteraan awam.
“Masyarakat diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusar Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApps di talian 011-63311072,” katanya.