Suspek curi kabel ditahan selepas terbabas rempuh premis

PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang disyaki terbabit dalam kes khianat dan kecurian kabel telekomunikasi selepas kenderaan dipandunya terbabas dan merempuh sebuah premis perniagaan di Donggongon, petang Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir berkata, tangkapan dibuat susulan maklumat awam mengenai pergerakan sebuah kenderaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, anggota Unit Rondaan Polis (MPV) BPJKK mengesan kenderaan terbabit di kawasan Kobusak sebelum cuba memberhentikannya bagi pemeriksaan lanjut.

“Bagaimanapun pemandu enggan berhenti dan memecut laju menuju ke Bundusan sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh sebuah premis perniagaan di Jalan Yue Min,” katanya.

Beliau berkata, suspek cuba melarikan diri dengan berjalan kaki namun berjaya ditahan polis.

“Hasil pemeriksaan menemui segulung kabel tembaga serta sebuah bateri kenderaan yang dipercayai berkaitan kes kecurian kabel telekomunikasi di sekitar Donggongon,” katanya.

Tambahnya, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing.

Kes disiasat mengikut Seksyen 431A dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.