Surau Sekolah Pondok Tahfiz Bidayahtul Hidayah terbakar di Ranau

RANAU: Sebuah surau sekolah pondok Tahfiz di sini musnah dalam kebakaran petang di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd Taib berkata, bagaimanapun setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 4 petang  di Sekolah Pondok Tahfiz Bidayahtul Hidayah, Kampung Kundasang Lama.

“Setiba di tempat kejadian yang terletak 18 kilometer dari BBP itu, didapati satu kebakaran melibatkan sebuah surau milik Sekolah Pondok Tahfiz Bidayahtul Hidayah jenis separuh kekal dengan keluasan 30x50kaki telah terbakar 80 peratus.

“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran 200kaki dua pancutan sumber air dari jentera bomba. Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ridwan berkata, sepasukan seramai 11 anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Becket Gumat bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 4.27 petang.

“Pihak kami berjaya mengawal kebakaran pada jam 5.30 petang dan operasi ditamatkan pada jam 7.27 petang semalam,” katanya.