Suhaili terima keputusan, Radzi ganti beliau sebagai KB BERSATU Labuan

LABUAN: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman menerima secara terbuka keputusan pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) apabila Naib Presiden parti itu, Datuk Radzi Jidin dilantik sebagai Ketua Bahagian BERSATU Labuan.

Bagaimanapun, Suhaili berkata, beliau tetap ahli BERSATU sekalipun berlaku perubahan kepimpinan dan yakin keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti tidak memberi kesan buruk kepada BERSATU Bahagian Labuan.

“Masa depan bahagian ini di luar kawalan saya, namun penubuhan BERSATU Labuan adalah hasil usaha saya dan sokongan padu rakyat tempatan.

“Bagaimanapun, keputusan melantik pemimpin baharu bagi Wilayah Persekutuan dan Labuan adalah hak kepimpinan parti,” katanya kepada media di sini, kelmarin.

Perubahan kepimpinan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 2 November lalu.

Sebelum ini, Suhaili telah mengambil keputusan untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira semua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta gangguan utiliti seperti bekalan air dan elektrik yang berpanjangan tanpa sebarang kesudahan.

Dalam waktu yang sama Suhaili juga dalam kenyataan ringkasnya turut memberikan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.