PUTATAN : Pertandingan Sugandoi sempena Pesta Kaamatan dilihat berpotensi melahirkan bakat-bakat baharu dalam bidang seni di Putatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, pertandingan itu bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat, malah berperanan memartabatkan kepelbagaian bahasa dan budaya di Sabah.
Menurutnya, meskipun diadakan setahun sekali, Sugandoi terbukti melahirkan ramai penyanyi tempatan yang kini mempunyai tempat dalam industri hiburan.
“Pertandingan ini semakin mendapat tempat bukan sahaja dalam kalangan masyarakat KadazanDusun Murut Rungus (KDMR), malah turut diminati peminat hiburan tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Sugandoi Peringkat DUN Tanjung Keramat 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Potuki.
