KOTA KINABALU: Status Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan sejak 2021 telah dihebahkan kepada umum menerusi beberapa medium.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kerajaan telah menghebahkan maklumat berkaitan kejayaan SMJ melalui wakil-wakil rakyat dan kementerian-kementerian.
Selain itu, katanya, hebahan maklumat turut dilakukan menerusi agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, Unit Pembangunan dan Pemimpin Masyarakat (UPPM), pejabat-pejabat wakil-wakil rakyat dan unit media kelolaan kerajaan, termasuklah media digital.
Cara termudah untuk mengakses maklumat berkenaan SMJ adalah melalui laman web rasmi: https://smj.sabah.gov.my/ l, katanya menerusi satu kenyataan. hari ini, bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir bahawa rakyat tertanya-tanya status pembangunan dibawah program SMJ.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata rangkuman pencapaian SMJ meliputi hala tuju kemajuan dan pembangunan 2021-2025 termasuklah pencapaian dan keberhasilan menyelesaikan kemudahan asas terutama berkaitan bekalan air dan tenaga elektrik.
Bagi hal berkaitan jalan raya, katanya, sudah tentu ia berkaitan proses menyiapkan Pan Borneo, sementara projek berkaitan jalan-jalan yang di luar Pan Borneo, kebanyakannya sedang berada pada fasa pembinaan.
Tambahnya, melalui persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, Kerajaan Negeri juga telah menjawab perihal berkaitan status projek-projek kerajaan melalui jawapan secara lisan atau bertulis.
“Seandainya Ahli Parlimen Libaran merangkap ADUN lantikan, Datuk Suhaimi Nasir meluangkan masa mengikuti maklumat yang diberikan melalui medium yang saya telah nyatakan, sudah tentu beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan tersebut.
“Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan maklumat penting, wakil rakyat seperti Datuk Suhaimi mempunyai tanggungjawab untuk mencari maklumat sebelum mengeluarkan kenyataan,’ katanya.
Nizam berkata, untuk pengetahuan Datuk Suhaimi, kerajaan negeri sedang berusaha untuk menurunkan kadar miskin tegar di Sabah menjelang penghujung tahun ini.
Katanya, antara usaha yang sedang berjalan adalah memberi bantuan modal perniagaan, menyediakan Rumah Mesra SMJ dan memberi peluang pekerjaan untuk anak-anak miskin tegar di Sabah.
Menurutnya, kelompok miskin tegar dalam sistem e-Kasih adalah golongan sasar yang akan dibantu.
Beliau berkata, selain membasmi kemiskinan, kerajaan negeri juga telah melancarkan Sabah Energy Roadmap & Master Plan 2040 pada September 2023.
“Usaha ini untuk kerajaan beralih daripada kebergantungan sumber tenaga tidak boleh diperbaharuhi kepada rangkaian sungai di Sabah. Hidroelektrik adalah kunci kepada aspirasi tenaga boleh diperperbaharuhi di Sabah.
“Pada tahun 2022, kapasiti hidro di Sabah ialah 102MW, memberi sumbangan hanya empat peratus kepada penghasilan tenaga campuran di Sabah.
“Untuk meningkatkan kapasiti hidro di Sabah, pembinaan Projek Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom bernilai RM4bilion dengan kapasiti 187.5MW dilaksanakan, dan projek ini dijangka siap pada tahun 2029,” katanya, sambil menambah bahawa selain menyumbang tenaga, ia juga berpotensi menyumbang bekalan air 6000MLD.
Nizam yang juga ADUN Apas berkata, untuk menstabilkan bekalan air, kerajaan telah meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air Telibong 1&2 sebanyak 130 sehingga 180 MLD dan mampu membekalkan air di kawasan Kota Kinabalu Utara, Tuaran, KKIP dan Universiti Malaysia Sabah.
Katanya Kerajaan turut meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air Kogopon di Papar kepada 80 MLD untuk kawasan Papar, Kimanis sehingga ke Selatan Kota Kinabalu.
Menurutnya, projek ini telah bermula lima bulan lepas, dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
“Apa yang saya sebutkan ini adalah sebahagian daripada kejayaan-kejayaan Pelan Pembangunan SMJ, semua maklumat ini adalah maklumat awam yang boleh diakses melalui platform yang saya sebutkan – terutamanya laman web rasmi SMJ.
“Saya berharap selepas ini Datuk Suhaimi dan pasukan pembangkang akan melakukan sedikit kajian dan bacaan sebelum melontarkan kenyataan yang tidak berasas,” kata Nizam.