LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan menyerahkan bantuan berjumlah RM902,234 kepada Hospital Labuan bagi membantu pesakit dan keperluan hospital Labuan.
Majlis penyerahan bantuan itu disempurnakan oleh Pengurus MAIWP Labuan Ustaz Md Fadli Md Saad sempena Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Pesakit dan Hospital Labuan 2024 yang diadakan di Hospital Labuan, semalam.

Hadir sama, Pengarah Hospital Labuan Dr Adnan Musa Balidran, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan Dr Baharudin Othman dan Pegawai Eksekutif Kanan, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Labuan Muhamad Haziq Abang Sapri.
Terdahulu Md Fadli ketika berucap berkata, bantuan tersebut melibatkan pembiayaan peralatan Oftalmologi Hospital Labuan yang bernilai RM874,234 yang bertujuan untuk membantu pihak hospital menyediakan peralatan yang diperlukan oleh pesakit di Hospital Labuan.
“Selain itu MAIWP juga menyalurkan bantuan wang tunai RM100 kepada 180 pesakit yang sedang menerima rawatan di Hospital Labuan dengan nilai keseluruhan RM18,000.
“Kita juga menyalurkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Persatuan Perkembangan Perubatan Kecemasan Labuan bertujuan untuk membiayai Program kit Mesra Ibadah Hospital Labuan.
Sementara itu, katanya, pada tahun ini MAIWP Labuan juga menyalurkan bantuan Perubatan di bawah Skim Bantuan Perubatan kepada asnaf melibatkan agihan wang zakat sebanyak RM823,100.
“Tidak hanya itu, MAIWP juga selaku pemegang amanah para pembayar zakat telah menyediakan lebih 30 skim bantuan yang mana turut melibatkan bantuan perubatan dan peralatan kesihatan secara one-off” katanya.
Pada majlis itu, Md Fadli turut menyantuni pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital Labuan sambil menyampaikan bantuan wang tunai RM100 setiap pesakit.