STAR sedia letak ramai calon wanita, belia pada PRN17 – Dr. Jeffrey

PENAMPANG: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bersedia meletak lebih ramai calon wanita, belia dan remaja untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah ke-17 dua tahun akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan bagaimanapun menegaskan parti itu hanya akan meletak calon kategori tersebut yang benar-benar bersedia.

“Parti kita (STAR) terbuka untuk memenuhi permintaan golongan berkenaan.

“Mereka harus mempersiapkan kemampuan agar lebih ramai calon yang dapat ditampilkan parti,” kaya di sini hari ini.

Dr. Jeffrey berkata, parti itu perlu mempersiapkan calon pelapis bagi meremajakan parti kerana pemimpin lama akan bersara dan pemimpin baharu perlu ditampilkan.

“Untuk memperkasakan parti,  pemimpin parti itu seharusnya tidak mengharapkan parti lain atau pemimpin parti sekutu melakukannya untuk STAR.” katanya.

Dr. Jeffrey seterusnya mengimbas pencapaian parti itu yang bermula dari kosong, satu kerusi, kemudian menjadi dua, enam dan kalau diberi peluang akan menjadi 12 atau lebih.