STAR, SAPP Gugur Daripada GRS, Pilih Bertanding Guna Lambang Sendiri – Masidi

KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil ketetapan tegas menggugurkan keanggotaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) selepas kedua-dua parti itu bertegas mahu menggunakan lambang masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Keputusan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun susulan Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada 1 Oktober lalu.

Menurut Masidi, mesyuarat memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang tidak menggunakan lambang GRS dalam PRN akan datang dianggap telah keluar daripada gabungan itu dan tidak lagi mewakili GRS.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan GRS bergerak sebagai satu entiti yang kukuh, sejajar dengan kerjasama strategik bersama Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan sebelum ini.

“Tindakan STAR dan SAPP untuk bertanding menggunakan lambang masing-masing dilihat boleh mengganggu rundingan kerusi antara GRS dan PH serta berisiko mewujudkan pertandingan pelbagai penjuru dalam PRN17 nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Masidi menegaskan bahawa mesyuarat berlangsung dalam suasana mesra dan terbuka, dengan semua pihak menghormati keputusan yang dibuat secara bersama serta meraikan perbezaan pandangan dalam semangat demokrasi.

”Parti-parti lain dalam GRS seperti Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS) menyatakan komitmen untuk terus kekal bersama GRS.

“GRS kini memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi PRN17 dengan memperkukuh strategi dan memperkemas gerak kerja bagi memastikan kestabilan serta kesejahteraan rakyat Sabah terus terpelihara,” jelas Masidi.