KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pegawai penguatkuasa kerana menerima wang rasuah secara bulanan sebanyak RM500 dan jumlah keseluruhan sebanyak RM4,000 daripada pihak syarikat pengurup wang berlesen sebagai balasan melindungi perniagaan syarikat.
Kes disiasat dibawah seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40an dipercayai menerima wang rasuah daripada seorang individu secara pindahan wang sebanyak RM500 bagi setiap transaksi dari tahun 2020 sehingga 2021.
“Suspek telah ditahan kira-kira jam 9 pagi tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Sabah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy a/l Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah bagi dituduh esok pagi.