KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki kerana disyaki mengambil wang lebih RM2,000 daripada orang awam untuk mendaftar nama mereka dalam sijil digital vaksinasi Covid-19 sekitar Oktober tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro hari ini menyebut sumber berkata, suspek berusia 31 tahun terbabit kemudian dipercayai memberi sejumlah wang kepada sukarelawan yang bertugas di salah sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini.
Katanya, ia sebagai balasan untuk mendaftarkan penama-penama yang tidak menerima suntikan dos vaksin Covid-19 bagi mendapatkan sijil digital vaksinasi di dalam sistem MySejahtera.
“Suspek ditahan kira-kira 1.30 tengah hari tadi di pejabat SPRM Kota Kinabalu susulan satu operasi yang dilancarkan di daerah berkenaan,” katanya.
Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.”Permohonan reman dijangka dibuat esok di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu,” katanya.