SPR belanja lebih RM420 juta untuk 4 PRN

PETALING JAYA: Kerajaan membelanjakan lebih RM420 juta bagi mengurus empat pilihan raya negeri (PRN) sejak pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pelaksanaan PRN Sabah adalah RM130 juta; Melaka (RM45 juta); dan Sarawak (RM149 juta).

“Jumlah keseluruhan perbelanjaan SPR bagi pelaksanaan PRN Sabah ke-16, PRN Melaka ke-15 dan PRN Sarawak ke-12 adalah berjumlah RM324 juta,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Fuziah Salleh (PH-Kuantan).

Menjawab soalan berasingan daripada Wong Ling Biu (PH-Sarikei), Wan Junaidi berkata SPR membelanjakan kira-kira RM96 juta bagi PRN Johor.

“Perbelanjaan merangkumi perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, kenderaan, pembangunan ICT, logistik, elaun petugas dan keperluan-keperluan lain yang berkaitan.

“Perbelanjaan ini turut mengambil kira peralatan mengikut garis panduan pencegahan Covid-19,” katanya.

Wan Junaidi turut menjelaskan perbelanjaan PRN Johor kali ini meningkat sebanyak RM61 juta berbanding PRU ke-14 bagi negeri berkenaan, manakala Melaka meningkat RM32 juta.