KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat akan menentukan sama ada kerusi Parlimen di Sabah kosong atau tidak hanya selepas menerima notis mengenai tindakan lompat parti yang dilakukan mana-mana Ahli Parlimen terbabit.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi tugas Speaker untuk menentukan kekosongan selepas diberikan notis.
Bagaimanapun, laporan BH Online memberitahu Azhar enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada empat Ahli Parlimen BERSATU di Sabah iaitu Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) perlu mengosongkan kerusi mereka selepas mengumumkan keluar parti.
Sabtu lalu, pemimpin BERSATU Sabah termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti itu.
Dalam satu kenyataan, Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.
Beliau berkata, kerajaan negeri yang ditunjangi Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengikut undang-undang anti-lompat parti yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka melompat ke parti lain.
Pengecualian untuk Ahli Parlimen yang dipecat parti atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.
Mengikut prosedur, Ahli Parlimen akan memaklumkan Speaker Dewan Rakyat berlaku kekosongan dan selepas pengesahan, beliau akan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kerusi itu diisi dalam masa 60 hari.