KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menjelaskan kenaikan bil elektrik adalah disebabkan oleh penyesuaian bil yang dibuat pada Julai dan jumlah yang direkodkan dalam bil Ogos adalah untuk penggunaan elektrik bagi bulan Julai dan Ogos.
Kerja-kerja konfigurasi terhadap sistem pembilan SESB dilaksanakan pada Julai disesuaikan dengan diskaun di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan kerajaan pada 28 Jun.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Idris Mohd Noor berkata, pembacaan meter tidak dilakukan oleh SESB dan pengguna tidak menerima bil elektrik mereka untuk bulan Julai.
Beliau turut menjelaskan dalam beberapa kes, pembayaran yang dilakukan oleh pengguna sebelum ini memerlukan masa untuk dikemas kini dalam sistem pembilan.
“Ada kes tertentu di mana jumlah semasa dalam bil tidak menunjukkan pemotongan pembayaran yang dibuat, namun pengguna tidak perlu risau kerana semua pembayaran sah akan segera dikemas kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Idris, terdapat juga kes di mana pengguna tidak membayar bil mereka tepat pada waktunya dan tunggakan tersebut terkumpul dalam bil bulan Ogos mereka.
Oleh itu, pengguna yang memerlukan penjelasan lebih lanjut mengenai bil elektrik mereka disarankan untuk menghubungi Pegawai Khidmat Pelanggan di pejabat SESB terdekat.
Pengguna yang mempunyai pertanyaan mengenai diskaun bil elektrik juga boleh menghubungi bilik operasi SESB di 088-222313, 223313 dan 224313 pada waktu pejabat dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Selain itu, pengguna juga boleh mengemukakan soalan melalui e-mel komersil@sesb.com.my
Sementara itu, pengguna boleh menghubungi SESB Careline 15454, 088-515000 atau melalui Whatsapp di 019- 852 5427 untuk pertanyaan selepas waktu pejabat