KOTA KINABALU: Semua rakyat Malaysia khususnya di Sabah perlu bersatu dalam menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh rasa bangga dan patriotisme.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rakyat perlu bersyukur dengan keamanan serta keharmonian yang kecapi.
“Marilah kita mengenepikan perbezaan dan anasir-anasir yang boleh menggugat perpaduan. Marilah kita fokus kepada persamaan kita untuk membangun negara yang lebih baik,” katanya dalam perutusan Hari Kebangsaan 2021.
Hajiji berkata, walaupun menghadapi pelbagai cabaran, rakyat Malaysia perlu terus bangkit dan bersama kerajaan untuk menempuh saat-saat sukar ini termasuk terus berjuang melawan pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan kehidupan serta ekonomi.
“Tema Hari Kebangsaan iaitu Malaysia Prihatin, mencerminkan tekad kerajaan dan rakyat untuk memerangi pandemik Covid-19,” katanya.
Tanbahnya, keprihatinan rakyat Malaysia itu dizahirkan dengan meraikan jasa dan pengorbanan semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memastikan negara terus dilindungi serta selamat daripada pandemik Covid-19 dan ancaman keselamatan.