SESB guna pakar dalaman tingkat kapasiti penggunaan Grid Sabah

LABUAN: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) menggarap idea inovasi teknologi daripada pakar dalaman sendiri untuk meningkatkan kapasiti penjanaan Grid Sabah yang masih ditahap kritikal.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, kerja kerja pengubahsuaian “Circuit Breaker” berkeupayaan 132kV kepada 11kV telah berjaya dilaksanakan menggunakan pengalaman dan sumber kepakaran pekerja SESB.

YAAKOB bersama kakitangan SESB ketika meninjau pelaksanakan peningkatan kapasiti Penggunaan Grid Sabah.

“Ini merupakan usaha berterusan daripada SESB untuk mempertingkatkan bekalan tenaga elektrik ke Grid Sabah” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Beliau berkata, idea inovasi itu merupakan kali pertama dilaksanakan ke atas stesen janakuasa dan seterusnya membolehkan semula Janakuasa Patau-Patau dapat meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada Disember 2024.

Sementara itu, Mohd Yaakob berkata, SESB sedang dalam proses akhir untuk mengoperasikan semula Turbin Gas GT 2 dan GT 3 di Stesen Janakuasa Patau-Patau yang mana tidak dapat beroperasi sejak tahun lepas.

Katanya pengoperasian semula Stesen Janakuasa Patau-Patau ini akan dapat menjana kapasiti tenaga elektrik tambahan sebanyak 60MW setiap hari ke dalam Grid Sabah.