SESB akan terus jadi pemangkin pertumbuhan pembangunan industri Sabah dan Labuan

KOTA KINABALU : Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pembangunan industri di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata SESB sebagai sarikat utiliti di Sabah akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin kepada pembangunan negeri Sabah selain memastikan SESB kekal relevan dalam setiap peringkat pembangunan.

Katannya, pembangunan pesat negeri Sabah dengan kemasukan pelabur asing telah membantu pertumbuhan ekonomi negeri dan secara langsung meningkatkan penggunaan tenaga elektrik.

Justeru itu, beliau berkata, SESB sentiasa bersedia untuk membantu pelabur-pelabur asing yang ingin melabur di negeri ini dengan menyediakan skema bekalan elektrik yang sesuai dengan pembangunan yang dicadangkan.

“Untuk memastikan kilang ini dapat beroperasi, SESB memberi bekalan tenaga interim melalui SSU 33 kilowatt (KV) Kibing sehingga set janakuasa milik syarikat itu disiapkan pada bulan Jun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media setelah mengadakan lawatan kerja ke Stesen Suis Utama (SSU) 33KV Kibing di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dekat sini, semalam.

Lawatan tersebut turut dihadiri oleh Pemangku Pengarah Urusan SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd Ma Wen Tao serta barisan pengurusan SESB.

Mohd Yaakob berkata, SSU 33kV Kibing yang dimulatugas pada 29 Disember 2023 akan memberikan bekalan tenaga elektrik kepada SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd di KKIP sehingga set janakuasa milik syarikat itu siap kelak.