Mayat lelaki lemas ditemukan di Sungai Milan Tongod.

KINABATANGAN : Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di sungai telah ditemukan di kawasan Abau-Abau, Sungai Milan Tongod dekat sini pagi semalam.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut yang berlaku di Kampung Bulot lebih kurang pukul 8.18 malam pada Isnin lepas.

Sepasukan anggota bomba diketuai PBK II KUP Jerry John bersama kenderaan utiliti dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 157 Kilometer.

Selain itu, operasi mencari dan menyelamat turut disertai oleh anggota Polis, Angkatan Pertahanan Awam, RELA dan orang awam.

Maklumat kejadian menyatakan terdapat seorang mangsa dikhuatiri lemas di sungai.

Mangsa yang dikenali sebagai Reczelco Aslan, 24, telah dijumpai di kawasan Abau-Abau Sungai Milan Tongod pada pukul 7 pagi semalam oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.