KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tamparuli merekodkan lebih 2,000 ahli di 68 cawangan berdaftar telah diluluskan.
Ketua Bahagiannya, Datuk Alijus Sipil berkata, jumlah ini menunjukkan satu perkembangan positif serta menjadi pilihan kepada rakyat khususnya Gagasan Rakyat di Bahagian Tamparuli.

Katanya, rakyat khususnya di Tamparuli memilih Gagasan Rakyat berikutan yakin terhadap perjuangan serta hala tujunya sekali gus dilihat mampu menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
“Kita dalam usaha menambah jumlah keahlian yang kini sedang dipergiatkan terutamanya dalam kalangan belia serta beliawanis yang belum didaftarkan menjadi ahli mana mana parti.
“Ini merupakan sasaran utama Gagasan Rakyat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli yang ingin memberi ruang serta peluang kepada mereka untuk menjadi ahli berdaftar parti,” katanya kepada Sabah News Today hari ini.

Menyentuh berkaitan dalam menambah keahlian Alijus berkata, usaha menyelaraskan bersama komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sedang giat dilakukan.
“Kita mengelakkan wujudnya pertindihan keahlian serta penghijrahan keahlian untuk memelihara semangat setiakawan dalam komponen parti dalam GRS,” tambah Alijus.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Alijus berkata dalam mesyuarat tahunan lalu selain melaksanakan perjalanan mesyuarat mengikut perlembagaan parti, barisan kepimpinan tertinggi mencadangkan kepada Ketua Menteri cadangan menaiktaraf Pembangunan sepanjang pesisir Sungai di Pekan Tamparuli.
“Ini agar menjadi tumpuan pelancong selain cadangan Pembangunan pesiaran tepi sungai, kiosk kraftangan, kiosk penjaja.
“Selain itu cadangan tapak Urusetia Majlis Daerah Tamparuli, Dewan Kebudayaan Lotud disamping menaiktaraf kawasan tamu dan sekitar jambatan gantung Tamparuli untuk memberi pendapatan kepada masyarakat setempat,” jelas Alijus.
