Program Skim Khas Pembiayaan Rumah Estet berjumlah RM50 juta diteruskan dalam RMK-12 untuk pekerja ladang tempatan – Mustapha

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan meluluskan geran berbentuk dana pusingan berjumlah RM50 juta bagi Skim Khas Pembiayaan Rumah Estet di negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud berkata, tempoh iaitu bermula 2011 hingga 2015 melalui Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri kemudiannya disalurkan kepada Bank Simpanan Nasional melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

Katanya, sasaran utama skim ini diwujudkan membolehkan pekerja ladang tempatan membeli rumah ketika masih bekerja dan seterusnya memiliki rumah sendiri setelah mereka bersara.

“Program Skim Khas Pembiayaan Rumah Estet masih diteruskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Melalui skim ini, kerajaan menyediakan kemudahan pembiayaan mudah pada kadar faedah tetap yang sangat rendah iaitu pada kadar dua peratus berbanding dengan pelan pembiayaan yang ditawarkan oleh bank komersial.

“Tempoh pembiayaan Skim Khas Pembiayaan Rumah Estet maksimum sehingga 35 tahun,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mustapha berkata, selain daripada itu, Skim Khas Pembiayaan Rumah Estet ini juga membenarkan pembiayaan dua generasi.

“Skim ini turut menawarkan pembiayaan untuk membeli hartanah baharu, pembelian rumah sub sales dan pembinaan rumah sendiri.

“Buat masa ini, Kerajaan masih belum mempunyai dasar untuk mewajibkan syarikat perladangan menyediakan apa-apa skim pemilikan rumah bagi memastikan pekerja ladang yang bersara memiliki rumah sendiri,” jelas Mustapha.

Dalam tempoh sama Mustapa menegaskan kementeriannya bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian, Jabatan, Agensi dan syarikat-syarikat perladangan untuk merangka Dasar Perumahan Perladangan bagi memberi keadilan serta peluang saksama kepada pekerja ladang memiliki rumah sendiri.