Seorang lemas, 8 selamat bot karam di Semporna

SEMPORNA: Seorang pelancong warga asing maut, dipercayai lemas, manakala lapan yang lain selamat dalam satu kejadian bot karam di perairan Pulau Timba-Timba, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kejadian dipercayai berlaku pada jam 10.10 pagi semalam membabitkan sembilan pelancong warga asing.

“Salah seorang daripada mangsa iaitu lelaki warga asing berumur 38 tahun telah meninggal dunia dipercayai lemas manakala lapan yang lain berjaya diselamatkan.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan itu, beliau berkata pihak polis telah menahan empat orang lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan berumur 22 tahun dan tiga warga asing umur berumur antara 26 hingga 40 tahun untuk membantu siasatan.

Katanya, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Beliau berkata pemilik bot dinasihatkan supaya berhati-hati semasa menggunakan bot dan menyediakan peralatan keselamatan seperti jaket dan sebagainya.

Menurutnya sebarang maklumat kejadian berkenaan bolehlah disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Insp Khadijah Mohd Seruji di talian 019-8718002 atau mana-mana balai polis berhampiran.