KALABAKAN : Gaya hidup sihat dan bebas penyalahgunaan dadah perlu diberikan promosi secara meluas dan mendapat sokongan semua pihak bagi membentuk masa depan negara yang lebih cerah.
Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Samasuddin Yusop berkata, semua pihak perlu menjadi ejen perubahan negara ke arah yang lebih baik dan bebas daripada ancaman dadah.

Katanya, laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tahun lalu menunjukkan kes penyalahgunaan bahan terlarang di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 27 peratus terutamanya melibatkan remaja.
“Jumlah peningkatan itu adalah satu peringatan jelas bahawa kita perlu terus berusaha keras dalam memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Generasi muda adalah tonggak masa depan negara, justeru, mereka harus diberikan kesedaran yang berterusan tentang bahaya dadah,” katanya.
Beliau merupakan Ketua UMNO Bahagian Kalabakan berkata demikian dalam program Larian Antidadah Untuk Negara sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2024, di sini, semalam.
Menurutnya, program larian itu selaras dengan matlamat untuk membasmi penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat, sekali gus mempromosikan gaya hidup sihat menerusi acara sukan.
“Larian Antidadah Untuk Negara dilihat bukan sekadar sebuah acara sukan, tetapi ia adalah simbol perpaduan dan solidariti kita dalam memerangi musuh nombor satu negara iaitu dadah.
“Program seperti ini bukan sahaja mendidik, tetapi memberi peluang praktikal kepada kita semua untuk mengambil bahagian dalam kempen memerangi penyalahgunaan dadah,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, HSN yang dianjurkan setiap tahun dapat memberi peluang kepada kita untuk memperkukuhkan kesihatan fizikal dan mental.
Katanya, melalui sukan kita dapat membina masyarakat lebih sihat, cergas, dan produktif, selain salah satu medium untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum, agama, dan budaya.
“Saya yakin bahawa larian hari ini akan menjadi satu titik tolak dan permulaan untuk kita semua menjalani gaya hidup yang lebih sihat.
“Selain itu, kita juga menyuarakan sokongan dalam usaha memerangi dadah kerana bahan terlarang itu merosakkan kehidupan, bukan sahaja individu tetapi juga keluarga dan komuniti,” katanya.
Samasuddin turut menyeru supaya program seperti ini tidak berhenti di sini sahaja dan semua pihak perlu memainkan peranan aktif dalam menyebarkan kesedaran tentang bahaya dadah.
“Melalui pendidikan, pencegahan, dan penglibatan masyarakat, kita boleh mematahkan rantaian penyalahgunaan dadah.
“Saya juga ingin mencadangkan agar lebih banyak kerjasama dalam menganjurkan program-program kesedaran lain seperti ceramah antidadah, bengkel kesihatan mental, dan aktiviti sukan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Skuad Anti Dadah Daerah Tawau Saharudin Japarudin berkata, larian ini adalah kesinambungan dan komitmen pihaknya dalam memberikan kesedaran tentang penyalahgunaan dadah.
Katanya, Skuad Antidadah mempunyai komitmen dalam memperkasakan pencegahan dadah melalui kajian ilmiah.
“Kami giat mempromosikan Pendaftaran Ahli Skuad Antidadah bagi memastikan lebih ramai golongan belia bersama-sama mengerakkan kesedaran Antidadah khususnya di daerah Tawau dan Kalabakan ini.
“Justeru, harapan saya adalah supaya Skuad Antidadah dapat menjadi platform yang aktif mengerakkan program kesedaran dengan pelbagai aktiviti bermanfaat khusunya kepada golongan belia,” katanya.
