KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengambil usaha berterusan bagi merapatkan jurang gender dan memperkasa wanita, termasuk melalui pengagihan jawatan penting bagi memastikan semakin ramai wanita memegang jawatan pembuat dasar.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata inisiatif itu diambil melalui kementerian, jabatan atau agensi negeri dengan melantik wanita menjawat jawatan tinggi dalam organisasi masing-masing.
“Langkah itu sejajar situasi pada masa kini yang menyaksikan ramai wanita berkaliber dan berpotensi untuk memegang jawatan pembuat keputusan dalam sesebuah organisasi,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2023 di sini, malam tadi.
Beliau berkata dalam sektor penjawatan awam, setakat Ogos 2023, statistik dan data wanita pembuat keputusan Kerajaan Negeri Sabah bagi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah berjumlah 33.3 peratus iaitu seorang wanita daripada tiga orang Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Katanya bagi jawatan Setiausaha Tetap berjumlah 9.09 peratus iaitu seorang wanita daripada 11 Setiausaha Tetap Kementerian. Peratusan Timbalan Setiausaha Tetap pula sebanyak 40 peratus iaitu lapan wanita daripada 20 Timbalan Setiausaha Tetap.
Hajiji berkata ketika ini 30.23 peratus ketua jabatan negeri pula terdiri daripada wanita, iatu seramai 13 orang daripada 43 ketua jabatan yang ada di negeri ini.
“Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita kerana wanita adalah salah satu tonggak pembangunan negara yang paling penting, bukan sahaja dalam aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segala aspek pembangunan negara,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata banyak yang telah dilaksanakan kerajaan bagi menambah baik perlindungan dan kebajikan pekerja khususnya wanita, antaranya pindaan ke atas Akta Kerja 1955 yang merangkumi pindaan cuti bersalin dipanjangkan daripada 60 hari kepada 98 hari.
Katanya cuti paterniti daripada tiga hari puoa ditambah kepada tujuh hari agar suami dapat membantu isteri yang baru melahirkan anak, manakala majikan diwajibkan menampal notis mengenai kesedaran gangguan seksual di tempat kerja.
Beliau berkata kerajaan negeri komited dan terus memberi sokongan padu terhadap segala usaha yang dibuat mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk memperkasakan pembangunan wanita di negeri ini.
