Semak semula Pelan Induk Pengangkutan Awam Bandaraya Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Api-Api, Yee Tsai Yiew, mencadangkan Kerajaan Negeri GRS-BN menyemak semula Pelan Induk Pengangkutan Awam Bandaraya Kota Kinabalu agar seiring dengan arus masa dan memenuhi keperluan rakyat dengan lebih baik.

Beliau menyatakan bahawa beberapa idea untuk menaik taraf Bandaraya Kota Kinabalu, termasuk pengangkutan awam, mungkin sudah lapuk dan tidak bersesuaian untuk masyarakat hari ini.

“Pelan Induk Pengangkutan Awam Bandaraya Kota Kinabalu telah dicadangkan pada 2012. Populasi penduduk di Kota Kinabalu telah meningkat sejak 10 tahun lalu, saya rasa kerajaan perlu mempertimbangkan secara serius rancangan untuk melaksanakan sistem transit aliran ringan (LRT) di Kota Kinabalu untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan kebergantungan kepada mod pengangkutan persendirian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tsai Yiew, yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lepas dengan membawa kempen slogan “Greater Kota Kinabalu”, memberikan pandangan beliau berkenaan kenyataan daripada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir, mengenai pelan induk yang juga termasuk pelan tindakan menambah baik sistem pengangkutan awam dalam dua fasa iaitu perancangan jangka pendek dan jangka panjang di Dewan Undangan Negeri semalam.

“Kerajaan negeri boleh membuat sedikit pelarasan kepada Pelan Induk Pengangkutan Awam Bandaraya Kota Kinabalu mengikut keperluan semasa… Masih ada ruang untuk penambahbaikan,” katanya.

Tsai Yiew turut mengalu-alukan usaha kerajaan negeri menyelesaikan isu banjir di Kota Kinabalu termasuk pembinaan sistem perparitan di bawah jalan bagi membersihkan aliran air dan air bertakung.

“Ini adalah penyelesaian yang boleh dilaksanakan supaya kecekapan sistem perparitan kita dapat dipertingkatkan dan seterusnya menyelesaikan isu banjir yang dihadapi oleh penduduk Kota Kinabalu,” katanya.