LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki mati selepas dipercayai dibaham buaya dalam kejadian berhampiran kawasan markas Operasi Pasukan Marin, di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata bapa mangsa juga mengalami kecederaan di bahagian kepala serta badan ketika cuba menyelamatkan anaknya.
Katanya, berdasarkan maklumat mangsa terbabit bersama bapanya sedang menjalankan aktiviti mendayung di kawasan lokasi kejadian berkenaan.
“Ketika kejadian bapa mangsa dipercayai cuba menyelamatkan anaknya namun gagal malah dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan akibat serangan buaya.
“Terdapat beberapa video tular memaparkan bagaimana mangsa (anaknya) disambar buaya kemudian dibaham sebelum mengheret mangsa ke sungai berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumsoa berkata, pasukan penyelamat menghantar bapa mangsa ke Hospital Lahad Datu untuk diberikan rawatan selanjutnya.