Pendataan warga asing dilaksanakan sepenuhnya tahun depan di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melaksanakan aktiviti pendataan warga asing sepenuhnya dalam tempoh enam bulan dari sekarang, bermula dengan sektor perladangan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, aktiviti pendataan warga asing secara pilot test di beberapa ladang kelapa sawit milik Kumpulan Syarikat Sawit Kinabalu, iaitu syarikat milik penuh Kerajaan Negeri.

“Seterusnya Kerajaan Negeri akan memulakan aktiviti pendataan ini sepenuhnya dalam tempoh enam bulan dari sekarang, bermula dengan sektor perladangan.

“Pendataan ini melibatkan kesemua pemegang IMM13, Sijil Banci MKN, Dokumen JKM (Burung-Burung) dan semua warga asing yang bekerja di Sabah,” katanya di sini hari ini.

Abidin berkata demikian sebagai menjawab kepada isu yang dibangkitkan oleh Datuk Darell Leiking (Moyog) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjung Kapor).

Menurut Abidin, Kerajaan Negeri memulakan aktiviti ini secara berfasa untuk memastikan segala proses pendataan dijalankan dengan teliti, teratur dan efektif.

“Kerajaan Negeri akan mendapatkan data-data Biometric yang dilengkapi dengan Facial Recognition.

“Semua data yang diperolehi adalah milik Kerajaan Negeri, manakala aktiviti pendataan tidak akan memberikan taraf kewarganegaraan,” katanya.