Selesaikan ancaman buaya demi keselamatan penduduk – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar perlu mengambil langkah segera memastikan ancaman ‘Buaya’ meragut nyawa penduduk berhampiran Sungai Kinabatangan tidak berulang pada masa depan.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerajaan tidak lagi perlu bertangguh berikutan Sungai Kinabatangan merupakan sumber rezeki kepada penduduk setempat.

“Pihak berkuasa perlu serius menangani isu ini bagi memastikan penduduk bebas mencari sumber pendapatan seharian tanpa ada sebarangan ancaman buaya,” katanya.

Bung Moktar mengulas kejadian minggu lalu apabila seorang wanita maut dibaham buaya ketika keluar memancing di sebuah anak Sungai Kinabatangan di Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya.

Mayat mangsa  Norsila Sayong, 32, ditemui dalam keadaan tidak sempurna pada jam 6.53 pagi Ahad lepas penduduk kampung iaitu kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian mangsa diserang haiwan reptilia itu.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, ini bukan pertama berlaku malah ramai mangsa menjadi korban ekoran ancaman buaya di Sungai Kinabatangan.

“Satu peraturan atau akta perlu diwujudkan sebagai mana dilakukan kerajaan Sarawak dalam menangani ancaman buaya membabitkan beberapa buah sungai di Sabah.

“Ini termasuklah membenarkan menangkap serta membunuh buaya secara berkala secara sistematik bagi mengurangkan jumlah haiwan itu di Sabah,”  katanya.