Segerakan pembinaan rumah baharu penduduk Kampung Bangau-Bangau Semporna – Jaujan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu menyegerakan pembinaan rumah baharu kepada penduduk Kampung Bangau-Bangau Semporna  yang menjadi mangsa kebakaran pada 2017.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Dr Jaujan Sambakung berkata, setakat ini kerajaan sudah meluluskan peruntukkan berjumlah RM8 juta namun pelaksanaannya masih belum dimulakan sehingga hari ini.

Katanya, ini merupakan rungutan utama dalam kalangan penduduk Semporna khususnya kepada perkampungan yang terlibat.

“Dalam tempoh sama kerajaan negeri perlu berhubung dengan kerajaan pusat berkaitan pembinaan jambatan Pulau Bum-Bum.

“Projek ini sudah lama diluluskan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Kerja-kerja awal sudah dilaksanakan melibatkan belanja RM25 juta. Skop reka bentuk juga sudah dilaksanakan, namun sehingga kini juga tiada khabar berita,” katanya dalam membahas Belanjawan Negeri Sabah 2023 di sini hari ini.

Jaujan berkata, kerajaan negeri wajar merujuk perkara ini kepada kerajaan pusat sekiranya tidak mempunyai bajet mencukupi untuk membina jambatan terbabit.

“Kemudahan ini menjadi keperluan utama kepada rakyat Sulabayan khususnya mereka yang tinggal di Pulau Bum-Bum. Kerajaan perlu melaksanakan pembinaan jambatan ini dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama Jaujan mengesa agar Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan membantu pelajar Sabah lepasan universiti yang disenaraihitamkan oleh Bank Negara Malaysia kegagalan membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Ramai lepasan universiti ini gagal mencari kerja di luar negeri atau berniaga disebabkan disenaraihitamkan.

Dijangkakan hampir 3,000 pelajar ini berhutang diantara RM10 ribu sehingga RM15 ribu.

“Kerajaan negeri dipohon untuk membantu menyelesaikan perkara ini agar anak-anak yang disenaraihitamkan ini boleh berdikari dengan bekerja ditempat lain atau menjalankan perniagaan masing-masing,” katanya.