Segera laksanakan moratorium kepada peniaga kecil dan sedarhana di Sabah – DPMS

LAHAD DATU: Dewan Perniagaan Muslim Sabah (DPMS), merayu agar kerajaan melaksanakan segera moratorium secara automatik selama enam bulan kepada Perniagaan Kecil dan Sederhana (SME) di negeri ini..

Pengerusinya, Bashir Ahmad Kassim berkata, peniaga kini berada dalam keadaan tertekan berikutan pihak bank mengenakan tindakan undang-undang selepas mereka tidak dapat menjalankan perniagaan dalam tempoh Pelaksanaan Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, DPMS hampir setiap hari menerima keluhan peniaga dan ahlinya yang mendakwa mereka dalam keadaan yang amat tertekan ketika ini.

“Mereka tiada wang atau pendapatan untuk membayar sewa kedai, gaji pekerja serta pinjaman bank oleh kerana perniagaan ditutup dalam tempoh PKP sehingga mereka kehilangan punca pendapatan.

“Perniagaan yang beroperasi juga seperti restoren susut pendapatan sehingga 80 peratus sekali gus menyebabkan mereka tidak mampu membayar balik pinjaman daripada pihak bank,” katanya.

Bashir Ahmad berkata, pihak bank terlalu mengenakan syarat wajib menunjukkan bukti peminjam hilang pendapatan untuk mendapatkan moratorium selama tiga bulan yang telah diumumkan oleh kerajaan.

Namun, peniaga kecil misalnya tiada sebarang bukti yang boleh membuktikan mereka hilang pendapatan melainkan penyata bank serta rekod dalaman perniagaan yang dimana tidak diterima oleh pihak bank.

“Peniaga tiada mempunyai slip gaji, penyata KWSP atau surat dibuang daripada pekerjaan ini sudah tentu menyukarkan mereka.

Menurutnya ada kalangan peminjam memperolehi moratorium dengan dikenakan faedah wajib bayar setiap bulan dalam keadaan begini, faedah ini merupakan satu beban besar bagi peniaga.

DPMS merayu agar pihak kerajaan melaksanakan segera moratorium secara automatik kepada semua peminjam di negeri ini.

SabahNewstoday