Sasaran 60 peratus vaksinasi menjelang Oktober dijangka tercapai – Hajiji

KENINGAU: Sabah berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat memvaksinasi sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk pada bulan Oktober berikutan pencapaian Program Jangkauan Luar (mobile outreach) yang baik setakat ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Noor berkata, berdasarkan angka Program Vaksinasi Jangkauan Luar, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), jumlah sebenar orang yang disuntik telah melebihi sasaran selama empat hari berturut-turut bermula 21 Julai.

Pada 21 Julai lalu, penduduk yang sudah menerima sama ada dos pertama atau kedua adalah 31,375, manakala pada 22 Julai seramai 32,293, 23 Julai (35,749) dan 24 Julai (32,504).

“Dengan ketibaan vaksin dos tunggal CanSino yang dijangkakan pada bulan hadapan, Sabah kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran itu,” katanya.

Ini ditambah dengan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi pertama Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada 28 Julai ini, yang akan membantu meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini.

Bersama dengan program sedia ada iaitu Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) untuk pekerja industri, PPV Integrasi yang melibatkan dua organisasi penjagaan kesihatan swasta diharap dapat meningkatkan vaksinasi daripada 1,500 hingga 10,000 sehari, katanya.

Beliau berkata, Sabah juga akan menerima satu juta dos vaksin Pfizer dan menjangkakan penghantaran 1.8 juta dos vaksin CanSino yang diminta tiba menjelang bulan depan.

Ketua Menteri berkata demikian selepas melawat PPV daerah di Kompleks Sukan Keningau di sini hari ini.

Beliau juga menyerahkan Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0 di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah semasa lawatan tersebut.

Mengenai bantuan bakul makanan dan bantuan tunai secara one-off, Hajiji berkata sebanyak 84.25 peratus atau RM88,815,600 daripada RM120,469,481 yang diperuntukkan di bawah BSP 3.0 seperti diumumkan pada 9 Jun lalu, sudah disalurkan.

Jumlah RM45,612,200 yang telah diperuntukkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah adalah sebahagian daripada peruntukan RM120 juta tersebut dimana hampir keseluruhannya sudah disalurkan.