KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri meriah dengan sebanyak 114 kontinjen dan 28 pelbagai jenis kenderaan menyertai perbarisan serta perarakan di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, hari ini.
Sambutan itu bermula pada kira-kira jam 7 pagi sejurus ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.
Ketibaan mereka berdua disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Pengerusi Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang juga Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.
Hadir sama ialah tiga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Ir Shahelmey Yahya, Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglina Safar Untong.
Sejurus tiba, Tun Juhar memeriksa kawalan keselamatan terdiri daripada 113 anggota dari Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja Sandakan yang diketuai Mejar Mohd Adam Embi.
Perarakan kemudian dimulakan menerusi lintas lalu helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Kontinjen perbarisan yang mengambil bahagian pada sambutan Hari Kebangsaan kali ini terdiri daripada pasukan keselamatan, badan beruniform, kementerian negeri, sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), persatuan kebudayaan etnik, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.
-ends
