Perpaduan, saling memahami antara masyarakat harus dijadikan penekanan – Suhaimi

SANDAKAN: Perpaduan dan saling faham memahami di antara ahli atau anggota masyarakat harus dijadikan sebagai satu penekanan dalam syarahan, kuliah atau perjumpaan di kalangan cerdik pandai orang-orang Islam.

Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir berkata semua maklum bahawa unsur perpaduan adalah juga ajaran Islam agar masyarakat tidak berbelah bahagi.

Justeru, katanya, perpaduan harus dijadikan satu amalan dan ianya patut dipuji dan diberi sanjungan tinggi.

“Sebagai satu masyarakat yang menganuti agama yang sama, pemupukan persaudaraan diantara ahli masyarakat adalah menjadi satu kewajipan kita bersama, tidak kira sama ada kita golongan tua, atau muda, awam atau tentera, di bandar atau di desa.

“Apa yang harus kita ingat ialah bahawa menerusi perpaduan kita akan dapat mewujudkan satu masyarakat yang teguh dan bermaruah. Sebaliknya jika terdapat perpecahan di kalangan kita, maka ini akan merugikan kita sendiri,” katanya ketika merasmikan Surau As-Sakinah Taman Airport di sini, hari ini.

Usaha membina surau ini dimulakan sejak 2011 dan selepas 23 tahun, ia dapat direalisasikan dengan sokongan yang diberikan Pusat Khidmat Parlimen Libaran dengan kos pembinaan surau ini berjumlah RM355,000.

Dalam pada itu, Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah mahu melihat pelbagai rancangan dan aktiviti untuk mengimarahkan lagi surau ini antaranya pengisian dengan aktiviti mingguan atau kelas-kelas agama untuk masyarakat dan anak-anak di sini.

Katanya atas dasar itu, Jawatankuasa Surau As-Sakinah seharusnya membuat perancangan sebaik mungkin untuk memaksimakan majlis ilmu yang bermanfaat di sini.

“Saya percaya, dengan perlantikan pengerusi pengurusan surau ini juga dapat membantu serta memberi komitmen yang terbaik dalam usaha untuk mengimarahkan lagi surau ini.

“Suburkanlah fikrah untuk sama-sama membangunkan institusi surau ini dengan perkara-perkara yang memberi manfaat,” katanya.

Beliau yakin bahawa masyarakat Islam di sini keseluruhannya mempunyai kesedaran yang tinggi untuk sama-sama memastikan surau ini digunakan dengan sebaik mungkin.

Katanya antara lain kebersihan surau ini juga hendaklah dijaga dan pastikan surai ini menjadi tempat yang amat menarik lagi menawan supaya ia dapat menggambarkan kehebatan, kemuliaan dan kesyumulan agama Islam itu sendiri.

Untuk itu, katanya, Suhaimi menyeru pihak jawatankuasa surau agar benar-benar menjaga dan memastikan segala keperluan di surau ini sentiasa dapat diadakan.

Pada masa sama, beliau juga mencadangkan agar pihak jawatankuasa surau agar mengemukakan permohonan kepada pihak berwajib agar Solat Jumaat di surau ini, namun proses ini akan mengambil sedikit masa dan perlu dipenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.