TAMBUNAN: Sambutan Hari Sabah yang julung kali diraikan selepas 60 tahun, menyimpan sejarah yang sangat penting berkaitan kemerdekaan Sabah daripada penjajah yang amat signifikan kepada seluruh rakyat negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata sambutan itu yang disytihar sebagai acara rasmi kerajaan negeri bermula tahun ini amat bermakna bukan saja kepada generasi masa kini, malah generasi akan datang.
Katanya perjuangan untuk mengadakan semula sambutan Hari Sabah bermula sejak beberapa tahun lalu dan menjadi perbualan, malah perbincangan dalam kalangan rakyat termasuk pemimpin politik di negeri ini.
Beliau berkata menyedari pentingnya Hari Sabah ini kepada seluruh rakyat, maka Kerajaan Negeri memutuskan untuk mewujudkan kembali sambutan atau perayaan Hari Sabah di negeri ini.
Hajiji berkata sebenarnya Hari Sabah ini pernah disambut di beberapa daerah pada 31 Ogos 1963, yang kemudian disusuli dengan perayaan Hari Malaysia pada 16 September.
“Namun perayaan Hari Sabah ini seolah-olah terselindung oleh sambutan Hari Kebangsaan yang juga dirayakan pada tarikh yang sama.
“Maka setelah sekian lama, tahun ini dan pada hari ini, kita raikan kembali Hari Sabah sebagaimana ia pernah disambut meriah 60 tahun yang lalu,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Sabah di Dewan Pisompuruan Square, di sini, hari ini.
Hajiji berkata Hari Sabah telah diisytiharkan sendiri oleh Gabenor British, Sir William Goode pada 28 Ogos 1963 di Jesselton.
Katanya Goode mengisytiharkan bahawa Sabah akan mempunyai kerajaannya sendiri dengan mengguna pakai Perlembagaan Negeri yang baharu berkuatkuasa pada 31 Ogos 1963.
“Selaras dengan perisytiharan itu, setiap daerah telah diarah untuk membuat persiapan bagi mengadakan sambutan sempena Hari Sabah pada 31 Ogos 1963,” katanya.
Hajiji berkata, perkembangan positif yang berlaku menjelang 31 Ogos, 60 tahun yang lalu itu ada hubung kait dengan pungutan suara yang dijalankan Suruhanjaya Cobbold ke atas rakyat Borneo Utara (Sabah) bermula pada Februari 1962 berkaitan penubuhan negara baharu Malaysia.
Negara baharu itu, katanya, membabitkan empat wilayah Malaya (Tanah Melayu), Sabah, Sarawak dan Singapura.
“Dalam konteks negeri Sabah, majoriti rakyat di negeri ini bersetuju bergabung dengan tiga wilayah yang lain iaitu Malaya, Sarawak dan Singapura, bagi menubuhkan Persekutuan Malaysia,” katanya.
Justeru, beliau berkata, keputusan yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengadakan semula sambutan Hari Sabah ini adalah sebagai memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan penjajah Inggeris di bumi Sabah.
“Setelah enam dekad berlalu, keputusan yang kita buat pada hari ini, walau agak terlewat tetapi pepatah Inggeris menyebut, ‘it is better late then never’,” kata Hajiji.