KOTA KINABALU : Sambutan Hari Sabah lebih bermakna kerana ia diraikan bersama- sama dengan Hari Kebangsaan mulai tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, tarikh 31 Ogos setiap tahun adalah penting dan berakar umbi dalam sejarah, bukan sekadar untuk mengenang dan meraikan tetapi untuk dihayati dalam semangat patriotisme.
Katanya, ini termasuk menghargai keberanian dan pengorbanan besar pejuang kemerdekaan negara.
“Kita menyeru rakyat Malaysia di Sabah supaya istiqamah dalam menjaga kedaulatan negara dan terus menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah dengan penuh semangat dan rendah diri kerana kemerdekaan adalah anugerah yang tidak ternilai.
“Perkara yang menyatukan kita – keamanan, keharmonian, perpaduan dalam kepelbagaian dan aspirasi kita untuk kemajuan dan pembangunan jauh mengatasi perkara yang memecahbelahkan kita,” katanya dalam Perutusan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024, di sini hari ini.
Hajiji berkata, marilah sematkan dalam hati sanubari sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah adalah milik kita.
“Marilah kita berdiri teguh menyokong kerajaan dan tidak terpengaruh dengan perkara negatif yang mengancam untuk memecahbelahkan kita.
“Tema sambutan Hari Kebangsaan 2024 “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus membangunkan masyarakat yang adil dan makmur,” jelas Hajiji.
Menurutnya, ini melambangkan kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang unsur negatif dalam mentafsir patriotisme dan cintakan negara.
Ketua Menteri turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024 kepada semua rakyat Malaysia.