Salur maklumat ‘bendera putih’ dalam Dun Kadamaian: Ewon

KOTA BELUD: Penduduk kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian digesa agar menyalurkan maklumat sekiranya wujud ‘Bendera Putih’ menunjukkan isirumah yang memerlukan bantuan bakul makanan di kawasan mereka.

Adun Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya akan memberi keutamaan dengan menyalurkan set bakul makanan dalam keadaan segera berdasarkan kemampuan sedia ada.

Katanya, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kota Belud bagi pihak kerajaan juga melaksanakan program bantuan makanan seperti ini bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

“Kita difahamkan ia hanya untuk mereka yang berdaftar di bawah senarai e-Kasih dan juga isirumah yang dikuarantin di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Namun, masih terdapat isirumah yang tidak berdaftar dengan e-Kasih tetapi amat mendesak keperluannya. Mereka perlu menghubungi kami. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab saya selaku Adun Kadamaian dan Pusat Khidmat saya untuk membantu mereka ini,” katanya.

Ewon berkata, pihaknya akan meneruskan program bantuan bakul makanan kepada isirumah yang mendesak keperluan khususnya di kawasan DUN Kadamaian.

“Pusat Khidmat Adun Kadamaian akan melaksanakan program bantuan tersebut termasuk kepada isirumah yang dikuarantin wajib dan belum menerima bantuan daripada kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, hari ini pihaknya menyediakan sebanyak 400 set bakul makanan untuk diagihkan kepada mereka yang telah menghubungi pusat khidmatnya.