SAIP akan diletakkan di bawah Kementerian Pertanian Sabah — Timbalan Ketua Menteri

Jeffrey mendengar taklimat daripada pegawai.

KOTA KINABALU: Sabah Agro-Industrial Precinct (SAIP) di Kimanis akan diletakkan di bawah Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah tidak lama lagi, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Jeffrey, yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata, bagaimanapun pengurusannya akan dikendalikan oleh jawatankuasa pemandu negeri, bersama-sama dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (MID) dan Institut Kajian Pembangunan (IDS).

“Kementerian kami sangat berminat dengan kemudahan ini berikutan potensinya, tetapi kita perlu bekerjasama bagi memastikan ia tidak menjadi satu lagi projek ‘gajah putih’,” katanya selepas lawatan ke SAIP hari ini.

Beliau berkata kementeriannya merupakan yang paling sesuai mengendalikan kemudahan itu kerana ia boleh mengawal keseluruhan bekalan dan rantaian nilai industri makanan, daripada bahan mentah pertanian sehingga produk siap.

Selepas siap pada 2018, ia tidak dapat memenuhi potensinya dan masalah itu diburukkan lagi dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jeffrey berkata beliau yakin dengan pasukan yang sesuai dan digabung dengan usaha daripada kementerian, SEDIA, MID dan IDS, kemudahan itu akhirnya akan dapat mencapai objektifnya untuk melahirkan usahawan tempatan yang berjaya dan membina jenama tempatan Sabah bagi pasaran antarabangsa.

— BERNAMA
Sabahnewstoday

Leave a Reply