Sahut cabaran ‘Presiden’ mendominankan semula UMNO di Sabah – Bung Moktar

KUALA LUMPUR : UMNO Sabah perlu menyahut cabaran Presidennya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi agar parti itu kembali menjadi mendominasi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 akan datang.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, saranan presiden parti itu perlu dilihat secara positif, bersemangat serta mencari pendekatan gerak kerja baharu agar lebih mantap dan konsisten.

Katanya, semangat tanpa usaha sudah tentu harapan untuk kembali dominan tidak mampu direalisasikan dalam PRN Sabah kelak.

“Semua ahli UMNO Sabah perlu menyahut cabaran ini dengan satu semangat serta budaya kerja berpasukan bagi mempastikan kejayaan ini dapat dicapai.

“Pada PRN dan PRU akan datang, UMNO perlu merampas kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini dimenanginya tetapi ditinggalkan mereka, kemudiannya menyertai parti lain hanya kerana mengajar kedudukan peribadi semata-mata,” katanya di sini hari ini.

Bung Moktar merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, UMNO pernah menjadi penyumbang terbesar kepada pembentukan kerajaan negeri selepas PRN16 di negeri Sabah.

“Namun jasa serta sumbangan besar UMNO Sabah ini tidak pernah dihargai walaupun menjadi sebahagian dari kerajaan negeri seumpama ‘Seperti melukut di tapi gantang’.

“Lebih memeritkan lagi ada segelintir pemimpin UMNO Sabah mengamalkan budaya ‘mengadu domba’ sehingga menyebabkan parti ini disinggirkan dari kerajaan negeri sehingga digelar sebagai Langkah Kinabalu,” jelas Bung Moktar.

Menurutnya, apa yang jelas sehingga kini gagal dibuktikan berikutan tidak ada akuan bersumpah (SD) yang diserahkan kepada Tuan Yang Dipertua Negeri Sabah.