KOTA KINABALU: Sabah komited ke arah memastikan rekod prestasi baiknya dalam pemuliharaan alam sekitar berterusan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan yakin usaha merealisasikan pelbagai inisiatif pemuliharaan berterusan pasti akan menyumbang ke arah matlamat secara keseluruhannya.
Katanya, antara lain kerajaan komited untuk menyokong Dasar Hidupan Liar Sabah serta Pelan Tindakan Penyu dibangunkan Jabatan Hidupan Liar Sabah.
“Melalui dasar ini, nilai sebenar hidupan liar kepada ekonomi dan kesejahteraan sosial Sabah akan dapat direalisasikan dan dipertingkatkan.
“Kita juga komited untuk menyokong pewartaan Teluk Darvel di Lahad Datu sebagai Kawasan Perlindungan Marin,” katanya.
Teks ucapannya dibacakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata, pembangunan ekonomi adalah perlu untuk meningkatkan kehidupan dan taraf hidup rakyat Sabah.
“Namun kerajaan mengakui pembangunan ini perlu mampan bagi memastikan generasi akan datang turut mendapat manfaat daripada keuntungan yang mungkin diperoleh hari ini.
“Dengan mengimbangi keperluan jangka pendek dan jangka panjang, kita akan memastikan belia hari ini tidak akan diletakkan pada kedudukan yang kurang bernasib baik pada masa hadapan,” katanya.