Sabah tentukan sendiri pembangunan elektrik dan tenaga boleh baharu mulai Januari 2024

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk membuat keputusan ke atas perkara yang membabitkan penggubalan undang-undang, penyediaan polisi dan pembangunan infrastruktur elektrik serta tenaga boleh baharu mulai tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata ia selaras pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan dan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), mulai 3 Januari 2024.

Beliau berkata, pengambilalihan kuasa kawal selia itu membolehkan Sabah boleh menentukan sendiri hal ehwal tenaga di negeri ini bagi memastikan ia selari dengan pelan pembangunan holistik negeri ini.

“Dengan mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas sektor tenaga di Sabah melalui ECoS (Energy Commision of Sabah) yang telahpun menjalankan tugasnya sebagai pengawal selia gas daratan, juga akan mengawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu.

‘Ini bermakna Kerajaan Negeri Sabah akan dapat membuat keputusan ke atas perkara yang melibatkan penggubalan undang-undang, penyediaan polisi, serta pembangunan infrastruktur elektrik dan tenaga boleh baharu bagi memastikan ianya selari dengan pelan pembangunan holistik Negeri Sabah.

“Walaupun tarikh pengambilalihan kuasa kawal selia sepenuhnya ini hanya akan berkuatkuasa pada tahun hadapan namun pihak ECoS telah maju setapak ke hadapan untuk menyediakan pelan induk dari aspek pembekalan gas dan elektrik termasuk tenaga boleh baharu di Sabah untuk 17 tahun akan datang,” katanya pada pelancaran Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji berkata penubuhan ECoS melalui Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan Enakmen Bekalan Gas 2023 berikutan penyerahan kuasa kawal selia pembekalan gas dan juga fungsi Suruhanjaya Tenaga daripada kerajaan Persekutuan pada Januari lalu adalah sejarah bagi Sabah.

Katanya, ia menunjukkan komitmen dan kerjasama tinggi kerajaan negeri dan persekutuan dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pelan Induk SE-RAMP 2040 ini juga adalah salah satu kejayaan kerajaan negeri mendapatkan hak kita di bawah MA63.

“Saya menyokong penuh SE-RAMP 2040 kerana ia akan menyediakan garis panduan untuk kerajaan dan pemain dalam sektor gas dan elektrik,” katanya.

Tambahnya, pelan induk itu akan memastikan industri tenaga Sabah dipantau dengan teliti dan terus berkembang untuk manfaat orang ramai.

“Pelan Induk itu adalah kebanggaan Kerajaan Negeri kerana kita akan dapat melakarkan laluan kita untuk memacu pembangunan sektor gas dan bekalan elektrik kerana kitalah yang lebih memahami keperluan tenaga negeri kita,” katanya.