SANDAKAN : Buku biografi oleh bekas pemimpin politik, Tan Sri Lee Lam Thye diharap mampu menggalakkan generasi muda untuk menunjukkan komitmen dan minat berkhidmat kepada masyarakat dan negara.
Lee, 76, mengetengahkan pengalamannya selama 54 tahun termasuk sebagai wakil rakyat dan sukarelawan menerusi buku biografi itu yang dilancarkan pada Jun 2022.
“Buku ini bukan bersifat politik meskipun saya menjadi wakil rakyat selama 23 tahun. Tetapi lebih untuk berkongsi pengalaman saya dalam berkhidmat kepada rakyat sebagai seorang wakil rakyat dan kemudiannya aktivis sosial.
“Tidak ada yang lebih bermakna dari memberi perkhidmatan kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya di Sandakan.
Menerusi buku biografi itu juga, Lee yang ketika ini merupakan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat turut mengetengahkan konsep kesukarelawanan dalam usaha menggalakkan rakyat untuk memberi bantuan secara sukarela.
Jelasnya, konsep kesukarelawanan amat penting untuk dijadikan sebagai budaya khususnya generasi belia.
“Saya mahu menggalakkan rakyat untuk sentiasa bersifat terbuka membantu tanpa memikirkan imbuhan balik ataupun wang.
“Saya rasa negara kita memerlukan lebih ramai sukarela agar mereka boleh terus memberi sumbangan kepada masyarakat,” katanya.
Buku biografi Lee Lam Thye diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia (RM60), Bahasa Inggeris (RM60) dan Bahasa Cina (RM50).
Dijangkakan, buku versi Bahasa Tamil akan diterbitkan hujung bulan ini.