
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor hari ini melancarkan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) bagi menangani keperluan jangka masa pendek di samping membina daya tahan jangka panjang yang mampan untuk industri tenaga di negeri ini pada masa hadapan.
Beliau berkata, pelan induk itu menggariskan hala tuju dan inisiatif strategik negeri untuk bergerak ke hadapan dengan jangkaan kerajaan negeri akan mengambil alih kuasa kawal selia pembekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada kerajaan persekutuan pada Januari tahun depan.
“Kerajaan Negeri komited untuk memastikan SE-RAMP 2040 dilaksanakan secara sistematik dan berkesan,” katanya pada majlis pelancaran SE-RAMP 2040 di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Di bawah pelan induk itu, Majlis Tenaga Sabah akan ditubuhkan dan dipengerusikan Ketua Menteri untuk memantau, menyokong dan memberi panduan ke atas pelaksanaan inisiatif jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang dirancang.
Hajiji berkata, antara objektif SE-RAMP 2040 adalah untuk memastikan bekalan kuasa yang berdaya harap dengan akses yang saksama dan liputan menyeluruh pada harga yang mampu milik, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk terus membekalkan elektrik kepada rakyat sambil memastikan kemampanannya untuk masa depan Sabah.
“Ia juga bagi melengkapkan Dasar Tenaga Negara yang dilancarkan tahun lalu dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara 2050 (NETR – National Energy Transition Roadmap) yang dilancarkan pada Ogos tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, SE-RAMP 2040 yang digubal oleh Energy Commision of Sabah atau ECoS merangkumi pelbagai strategi dan inisiatif untuk mengimbangi trilema tenaga bagi memastikan ia terjamin, mampu milik dan lestari terhadap alam sekitar.
“Kita tahu dan sedar bahawa isu bekalan elektrik di Sabah telah membelenggu rakyat sejak sekian lama. Kerajaan komited untuk menangani isu yang diwarisi ini dan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya.
“Tambahan pula, dengan dasar mesra pelabur Hala Tuju SMJ, keperluan infrastruktur asasseperti bekalan elektrik dan air kekal menjadi keutamaan. Pelan ini sudah tentu akan membuka jalan kepada kita untuk meningkatkan bekalan elektrik bagi keperluan industri.
“Saya mahu ECoS melaksanakan mandat ini ke tahap terbaik untuk kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri berjaya menarik beberapa pelabur berimpak tinggi seperti projek pembuatan kerajang tembaga SK Nexilis, pengeluar kaca solar Kibing, kilang pemprosesan kelapa bersepadu Linaco dan projek keluli hijau, Esteel.
“Dengan adanya SE-RAMP 2040, Sabah berharap dapat menarik lebih ramai pelabur dan mewujudkan limpahan ekonomi di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan Sabah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata SE- RAMP 2040 menggariskan 16 strategi untuk menangani trilema tenaga iaitu keselamatan daya harap tenaga, kebolehcapaian dan mampu milik, serta kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata, antara strateginya ialah memastikan simpanan penjanaan yang mencukupi, mempelbagaikan campuran bahan api dan perolehan sumber tenaga serta teknologi baharu untuk jangka panjang bagi mencapai keselamatan tenaga.
