KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) seharusnya diberi keutamaan sebagai pelaksana utama dalam mana-mana projek naik taraf bekalan elektrik di Sabah.
Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffrey Nor Mohamed berkata ketika ini keadaan berbeza dengan syarikat swasta menjadi pihak berkepentingan (Stake Holder) tinggi dalam pelaksanaan projek berbanding SESB hanya diberikan pegangan peratus yang rendah atau tidak dilibatkan.
Sebagai contoh, katanya, pelaksanaan membina empangan hidroelektrik bernilai RM4 bilion di Ulu Padas, Tenom yang dinyatakan pada 2015, Syarikat Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd diberikan 60 peratus, manakala SESB dan Kerajaan Negeri masing-masing 20 peratus.
Bagaimanapun, katanya, pada 2020, mengikut laporan, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) bagi pihak Kerajaan Negeri memegang 40 peratus manakala syarikat Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd masih memegang 60 peratus.
“Kita mahu kembalikan SESB kepada negeri Sabah tetapi cara ini masih lagi tidak mahu menjadikan SESB sebagai syarikat utiliti utama di Sabah.
“Adakah syarikat Kagum Hitech Sdn Bhd ini punya kelayakan sebuah syarikat yang mempunyai kompetan dalam membina empangan serta mempunyai kelayakan kewangan yang berwibawa,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sebelum ini, Pengerusi SESB Datuk Seri Madius Tangau dalam satu kenyataan menyatakan telah menjadi isu yang berlarutan selama beberapa dekad termasuk SESB tidak diberikan peluang untuk mengendalikan projek-projek seperti Empangan Ulu Padas, Empangan Liwagu, dan loji jana kuasa arang batu di Lahad Datu walaupun SESB yang menjalankan kajian untuk projek-projek tersebut.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika melancarkan Projek Empangan Ulu Padas pada Ogos lepas menyatakan projek itu yang akan dilaksanakan secara usaha sama antara kerajaan negeri menerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah dengan sektor swasta itu akan dilancarkan Oktober ini dan dijangka siap pada 2027.
Dalam pada itu, Jeffrey yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah mengalu-alukan pengumuman pelaksanaan Projek Empangan Ulu Padas bagi kali kedua selepas pertamanya diumumkan pada 2013.
Katanya keutamaan sekarang antaranya ialah tenaga elektrik bagi menjana pembangunan negeri Sabah yang lebih holistik dan mampan dimana ianya akan menghasilkan tenaga elektrik tambahan sebanyak 191 Megawatt (MW).
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan syarikat sebagai pihak berkepentingan dengan 60 peratus projek itu belum memulakan apa-apa tindakan.
“Tekanan harus dIberikan kepada syarikat tersebut agar projek ini boleh dilaksanakan dengan segeranya dan jika semuanya sudah memenuhi kehendak Penilaian Impak Alam Sekitar dan Sosial (SEIA) maka tiada lagi alasan projek ini tidak boleh dmulakan.
“Saya juga dimaklumkan syarikat Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd ini masih mencar-cari lagi rakan untuk memulakan projek ini. Saya ingat budaya ini perlu diubah di Sabah..sudah sekian lama budaya ini berada di Sabah,” katanya.
Justeru itu, katanya, kerajaan negeri perlu mencari syarikat yang betul-betul layak mempunyai kemahiran, pengalaman serta kemampuan kewangan.
“Jjika keutamaan bersama kita ialah rakyat Sabah mari sama-sama kita ubah keadaan ini bersama agar perlaksanaan projek ini dapat disegerakan,” kata Jeffrey.