Sabah perlukan pelan jelas tambah doktor, kata ADUN Likas

KOTA KINABALU: ADUN Likas, Tham Yun Fook mahu kerajaan negeri bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperincikan pelan tindakan bagi mengatasi kekurangan 4,526 doktor di Sabah.

Menurutnya, kekurangan tenaga perubatan memberi kesan kepada tempoh menunggu rawatan, kesesakan hospital serta akses perkhidmatan kesihatan, khususnya di luar bandar.

Beliau berkata, Sabah ketika ini hanya mempunyai nisbah seorang doktor bagi setiap 775 penduduk, berbanding sasaran nasional seorang doktor bagi setiap 400 penduduk.

Katanya, rakyat Sabah memerlukan tindakan konkrit, sasaran yang terukur serta garis masa yang jelas bagi menyelesaikan isu berkenaan.