Sabah menerima pelaburan bernilai lebih RM33b – Hajiji

TUARAN: Kerajaan negeri meluluskan pelaburan berjumlah RM11.5 bilion membabitkan 89 projek yang menjana kira-kira 4,566 pekerjaan sejak penularan wabak Covid-19 sehingga tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata ini tidak termasuk projek Keluli Hijau Bersepadu bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang ditandatangani pada November 2022.

Katanya, projek Keluli Hijau ini serta pelaburan lain dalam proses pelaksanaan sekali gus Sabah akan menerima sejumlah RM33.4 bilion.

“RM11.5 bilion itu, RM9.2 bilion adalah Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan RM2.3 bilion lagi adalah pelaburan domestik.

“72.9 peratus daripada pelaburan atau RM8.4 bilion adalah dalam sektor pembuatan, manakala RM1.6 bilion dalam sektor utama terdiri daripada pertanian, perlombongan, komoditi dan perladangan, dan sektor perkhidmatan, RM1.5 bilion,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, pelaburan ini adalah usaha terkumpul Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri (MIDE), SEDIA dan agensi berkaitan lain, katanya.

“Kini SEDIA berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi secara langsung, kita mahu semua permohonan dan pelaksanaan projek di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) diselaraskan dengan lebih baik dengan garis masa yang ditetapkan dan semua prosedur dipatuhi,” katanya.

Kerajaan negeri turut mengalu-alukan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancarkan oleh Kementerian Ekonomi pada 26 Feb 2023.

Ini sekali gus akan membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan miskin tegar dan golongan berpendapatan B40 melalui program seperti Usahawan Tani (INTAN), Usahawan Makanan (INSAN) dan Operator Perkhidmatan (IKHSAN).