KOTA KINABALU: Sabah masih mencatat kadar pengangguran tertinggi iaitu melebihi 2 kali ganda berbanding kadar pengangguran Nasional iaitu 3.5 peratus pada suku tahun pertama 2023,.
Menteri Sumber Manusia Datuk V. Sivakumar berkata jumlah mereka yang menganggur di negeri Sabah adalah 169,800 orang manakala di peringkat nasional adalah seramai 588,700 orang.
“Ini bermakna 29 peratus pengangguran Malaysia datangnya dari Negeri Sabah,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Perburuhan Peringkat Negeri dan Hari Bertemu Pelanggan Kementerian itu di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha Sakmud.
Beliau berkata isu pengangguran ini sering kali dibincangkan bukan sahaja di peringkat negeri namun sehingga ke peringkat antarabangsa.
Namun begitu, V.Sivakumar berkata pemulihan ekonomi yang semakin baik selepas pandemik Covid 19 telah mengurangkan kadar pengangguran di negeri Sabah.
Katanya pada suku tahun pertama 2023, kadar pengangguran telah menurun kepada 7.7 peratus berbanding suku tahun pertama 2022 sebanyak 9.1 peratus.
Justeru, beliau berharap satu kerangka ekonomi yang unik dibina bagi membantu perkembangan perusahaan kecil dan sederhana khususnya di negeri Sabah.
“Hal ini demikian kerana kita tidak boleh bergantung sahaja kepada pelabur asing yang datang melabur ke negara kita. Jika satu hari mereka mengambil keputusan untuk menarik pelaburan, maka ramai yang akan dibuang kerja.
“Oleh itu, dengan menyokong perkembangan usahawan tempatan, ia bukan sahaja dapat memberikan peluang pekerjaan tetapi juga meningkatkan daya upaya tenaga kerja tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, median upah bulanan negeri pada Mac 2023 berdasarkan perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, Kelantan, Perlis dan Sabah menunjukkan median upah bulanan yang rendah masing-masing sebanyak RM1,600, RM1,627 dan RM1,782, dalam tempoh yang sama.
“Jika dilihat melalui data ini, median upah di Sabah masih rendah berbanding negeri-negeri lain. Justeru pelbagai usaha perlu dilaksanakan untuk mengatasi isu ini,” katanya.
Tambah beliau, median upah bulanan tertinggi diterima oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak RM3,927, diikuti oleh Selangor sebanyak RM2,964 dan Pulau Pinang sebanyak RM2,627.