TONGOD: Pekebun kecil di Kampung Keramuak menubuhkan ‘Aki Keramuak’ sebuah komuniti yang bertindak menghalau kumpulan gajah liar mengancam kebun sawit penduduk menggunakan kaedah Ladum.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah berkata beliau meluluskan pertuntukan khas RM10,000 untuk membina sebuah pusat komuniti Aki Keramuak di kampung berkenaan.
Katanya pada masa sama, pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) akan melatih kumpulan pekebun kecil sawit supaya mereka mahir dalam kaedah menghalau binatang liar itu tanpa menggunakan kekerasan.
“Salah satu cara penduduk menghalau kumpulan gajah ialah meletupkan ladum apabila binatang itu memasuki kebun sawit mereka,” katanya dalam lawatan kerja di Kampung itu, pada Sabtu lepas.
Masiung yang mencuba sendiri ladum dalam lawatan sehari ke kampung itu, pada Sabtu mahukan JHL Kinabatangan menjadi mentor kepada komuditi pekebun kecil yang terancam dengan gajah liar.
Ladum sejenis alat tradisional yang diperbuat dari bekas tin terbuang dicentum dan dibentuk seperti mariam buluh boleh diletupkan menggunakan cacair spirit.
Terdahulu beliau diberi taklimat oleh Pegawai JHL Kinabatangan Sylvia Alsisto, mengenai ancaman gajah liar di kawasan tersebut.
Pada masa sama, Masiung telah meminta JHL menubuhkan lebih banyak pasukan di setiap kampung yang sering kali menjadi ancaman binatang berkenaan.
“Saya telah membawa perkara ini ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai masalah gajah liar yang telah banyak memusnahkan kebun-kebun sawit milik penduduk di daerah Tongod, namun belum ada tindakan diambil setakat ini, ” kata Masiung.