Sambutan sulung Hari Sabah di Tambunan pada 31 Ogos ini – Hajiji

KOTA KINABALU: Hari Sabah yang menandakan Hari Kemerdekaan negeri ini akan disambut buat julung kalinya pada 31 Ogos ini dengan Tambunan dipilih sebagai lokasi sambutan itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat kabinet negeri minggu lalu yang menandakan sejarah penting Sabah itu diadakan setiap tahun dengan menggilirkan lokasi sambutan di setiap daerah.

“Marilah kita memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan British di Sabah dan bermulanya perjalanan kita bersama untuk berpemerintahan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selepas bebas daripada penjajahan British, Sabah kemudian sama-sama membentuk Persekutuan Malaysia dengan Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak pada 16 September 1963.

Hajiji berkata sambutan di Tambunan itu nanti bermula pada jam 3 petang selepas sambutan Hari Kebangsaan di Kota Kinabalu.