Sabah maju, sejahtera di bawah Hajiji, Kerajaan GRS-PH Plus

KOTA KINABALU : Sabah terus berada di landasan yang tepat menuju kemajuan dan kesejahteraan rakyat di bawah kepimpinan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) Plus.

Bekas Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) BERSATU/Perikatan Nasional (PN) Sabah, Aksyah Nasrah menegaskan bahawa Kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah menunjukkan pencapaian yang jelas dalam mentadbir negeri.

“Dengan berpandukan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Sabah kini berada di landasan yang betul untuk mencapai kemajuan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aksyah, ketika Hajiji mengambil alih tampuk kepimpinan Sabah, ekonomi negeri berada dalam keadaan kritikal dengan kadar pertumbuhan negatif 9.5 peratus.

“Namun, dalam tempoh setahun, prestasi ekonomi negeri melonjak kepada tahap positif 1.5 peratus, membuktikan keberkesanan kepimpinan beliau dalam memulihkan ekonomi Sabah,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan bahawa Kerajaan GRS-PH Plus adalah sebuah “kerajaan gagal” yang dilemparkan oleh Ketua UMNO Sabah serta beberapa pemimpin pembangkang. Dakwaan itu, katanya, tidak berasas dan sekadar bersifat persepsi politik.

Aksyah menegaskan bahawa kejayaan sesebuah kerajaan harus diukur berdasarkan perubahan serta pencapaian yang membawa manfaat kepada rakyat.

“Dalam konteks ini, terdapat beberapa faktor utama yang membuktikan kejayaan Kerajaan GRS-PH Plus.

“Sabah kini menikmati peningkatan hasil negeri dan pengukuhan sektor ekonomi yang secara langsung menyumbang kepada kesejahteraan rakyat. Keupayaan Kerajaan dalam mengurus kewangan negeri dengan baik memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara berterusan dan mampan,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa projek pembangunan seperti Rumah Mesra SMJ, BUDI, SYUKUR, SENTOSA serta peningkatan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, dan elektrik sedang giat dilaksanakan.

“Sudah tentu, setiap pembangunan mengambil masa dan kadangkala menyebabkan gangguan sementara, namun ini adalah sebahagian daripada proses membangunkan negeri,” katanya.

Menurut Aksyah, kelemahan infrastruktur asas di Sabah bukanlah kesalahan Kerajaan GRS semata-mata, tetapi merupakan masalah legasi yang kini sedang diperbaiki secara sistematik.

Beliau menyeru rakyat untuk menilai pencapaian Kerajaan berdasarkan fakta dan bukan propaganda politik pihak pembangkang.

“Kepimpinan Hajiji berorientasikan tindakan, bukan sekadar retorik. Beliau telah membuktikan komitmen terhadap pembangunan Sabah serta memastikan negeri ini ditadbir oleh pemimpin tempatan mengikut aspirasi rakyat Sabah sendiri,” ujarnya.

Aksyah juga menekankan bahawa kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui kehadiran PH Plus dalam gabungan ini adalah satu kelebihan, kerana ia menjadi jambatan penting dalam memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Oleh itu, rakyat harus terus menyokong Kerajaan GRS-PH Plus bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri. Jangan biarkan emosi dan propaganda politik yang tidak berasas mengorbankan masa depan kita dan generasi akan datang,” katanya.