KOTA KINABALU : Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) diminta mengukuhkan sokongan memperkasakan agenda wanita di Sabah bagi membolehkan golongan berkenaan mampu menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan negeri dengan lebih berkesan.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, sokongan tersebut boleh diterjemahkan melalui penganjuran program latihan, pendidikan, keusahawanan serta advokasi hak wanita.
Menurut beliau, bantuan NGO bakal membuka ruang dan peluang kepada lebih ramai wanita untuk berdikari dan meningkatkan taraf hidup mereka sekali gus menjadikan mereka lebih berperanan dalam sektor ekonomi dan pembangunan.
“Kita perlu terus menyokong dan berkolaborasi dengan NGO untuk memastikan usaha ini dapat diteruskan dan diperluaskan. Melalui penyelidikan dan dasar yang berimpak tinggi, IDS komited untuk memperkasa peranan dan bakat wanita.
“Kita percaya bahawa dengan pendekatan yang bersepadu, kita boleh menghasilkan perubahan yang lebih bermakna dan berkekalan. Kita perlu memastikan suara wanita terus didengar dalam pembentukan dasar dan keputusan penting,” katanya semasa berucap pada Perbincangan Meja Bulat Memperkasa Wanita: Menuju Masa Hadapan Yang Lebih Inklusif (Perspektif NGO) di SICC.
Azizah berkata, wanita hari ini bukan lagi sekadar penerima manfaat, tetapi juga pencipta perubahan dalam masyarakat.
Katanya, keterlibatan wanita dalam aktiviti sosial akan dapat memperkasakan komuniti melalui aktiviti seperti kerja amal, kemasyarakatan, pendidikan dan sokongan kebajikan, manakala dengan menceburi bidang perniagaan, keusahawanan dan sektor pekerjaan, wanita turut membantu meningkatkan pendapatan isi rumah serta merangsang pertumbuhan ekonomi.
“Berdasar kajian, penyertaan wanita dalam kepimpinan di Sabah masih memerlukan usaha yang lebih berstruktur, wanita hanya menjawat 14 peratus komposisi pembuat keputusan dalam sektor awam negeri, 22 peratus jawatan ahli lembaga pengarah dan CEO dalam syarikat GLC.
“Mereka juga hanya 24 peratus memegang ahli lembaga pengarah dan CEO dalam agensi badan berkanun negeri, manakala pada kedudukan sangat rendah sebagai pembuat keputusan dalam pihak berkuasa tempatan.
“Namun sebaliknya, 69.3 peratus daripada pemilik perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah wanita, menunjukkan dominasi wanita dalam sektor keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan data itu, dapat dirumuskan bahawa angka tersebut masih belum mencerminkan potensi sebenar wanita dalam pelbagai jenis sektor.
Sehubungan itu katanya, program keusahawanan wanita harus diberi lebih sokongan bagi melonjak wanita dalam perniagaan kecil dan sederhana melalui akses kepada modal, latihan, serta pasaran yang lebih luas.
“Kita harus memastikan bahawa ekosistem perniagaan yang lebih kondusif diperkasakan untuk menyokong golongan wanita, dimana mereka diberi ruang untuk terlibat secara aktif dalam agenda sosio-ekonomi negara.
“Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam memperkasakan wanita menerusi pelbagai program, kursus dan latihan serta bimbingan mengenai pengurusan kewangan dalam bidang keusahawanan dimana sebanyak 17,290 wanita telah menerima manfaat dari inisiatif ini,” ujar beliau.
Tambah Azizah, antara contoh program yang dilaksanakan bagi memperkukuhkan ekonomi kaum wanita khususnya ibu tunggal dan suri rumah yang kehilangan ketua rumah tangga ialah program berasaskan konsep ‘circular economy’ iaitu Program Ekonomi Pembangunan Mampan (OMEGA) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).